Skip to Main Content

Pameran Ukiran Kayu: Sejarah Ukiran Kayu

Pameran Ukiran Kayu

Sejarah

PENGENALAN UKIRAN KAYU

Ukiran kayu adalah salah satu seni tradisi Melayu di mana pengukir akan menyobek permukaan papan atau bungkah kayu bagi mencorakkan sesuatu motif. Antara lima jenis motif yang diterap pada kayu, adalah, flora, fauna, kosmos, geometri dan khat. Kebiasaanya, ukiran tidak menyerupai objek flora secara langsung tetapi diolah dalam bentuk simbolik agar menyerupai objek tersebut. Ia merupakan satu seni pertukangan yang wujud sebelum abad ke-16 di Semenanjung Malaysia.

Seni ukir merupakan seni warisan Melayu yang sudah bertapak sejak berkurun lamanya dan mempunyai nilai peradaban yang tinggi. Berkonsepkan keseimbangan alam berdasarkan komposisi, pemilihan motif dan bentuk ukiran. Pengolahan dalam seni ukiran ini berhubung rapat dengan falsafah ketuhanan dan alam semesta. Ukiran juga digunakan pada rumah-rumah Melayu bagi menambahkan nilai estetik dan menyokong rupa atau sendi kepada bentuk bangunan.

Sebelum kedatangan Islam pada abad ke-13, seni ukiran dipengaruhi dengan kepercayaan Hindu dan Buddha. Ukiran yang dihasilkan pada ketika itu, banyak menggunakan motif Hindu dan Buddha untuk menghormati dewa-dewa. Sejak Islam mula bertapak di Kerajaan Langkasuka pada abad ke-16, seni ukiran turut merubah daripada segi motif, maksud dan tujuan.

Seni ukiran yang berasaskan daripada kepercayaan Hindu seperti stupa, makara, teratai dan gunungan, masih digunapakai sehingga ke hari ini. Motif haiwan dan dewa Hindu telah digantikan dengan motif flora dan khat yang dipengaruhi daripada gaya Langkasuka Tua. Ukiran stupa boleh ditemui pada elemen seni bina rumah Melayu seperti buah buton ataupun di pintu gerbang rumah. Gunungan pula membentuk seperti puncak gunung atau pohon budi (pokok kehidupan) yang kebiasaannya digunakan sebagai simbol status yang diletakkan pada pintu gerbang istana, mimbar atau kuburan.

Makara merupakan gambaran kosmologi berkisarkan mitos raksasa laut Pattani dan Kelantan. Biasanya, ia diukir pada perahu yang digunakan sebagai kenderaan dalam perarakan majlis berkhatan dala masyarakat Melayu. Makara bermotifkan organik juga boleh dilihat pada pemeleh rumah, pintu dan tingkap. Teratai pula, digunakan sebagai asas atau batas sempadan pada sesuatu komponen bangunan. Antara contoh ukiran teratai adalah buah buton pada pangkal tunjuk langit, yang merupakan elemen kerangka bumbung bangunan.

Petikan daripada: Buku 'Spesies-spesies Kayu dalam Seni Ukiran Melayu'