Kebanyakan seni ukiran di Kelantan dan Terengganu menggunakan motif tumbuhan kesan pengaruh kerajaan Langkasuka, manakala seni ukiran Perak, Negeri Sembilan dan Melaka banyak dipengaruhi oleh seni ukiran daripada Jawa dan Cina di mana motif haiwan dan dewa lebih banyak digunakan.
Kedatangan pedagang-pedagang Islam dan Eropah ke Tanah Melayu telah mempengaruhi seni ukiran masyarakat tempatan ketika itu. Motif alam semula jadi (arabesque) dalam bentuk mujarat telah berkembang menunjukkan pengaruh Islam di rantau ini. Gaya reka arabesque adalah satu satu gaya Islam yang melarang imaginasi makhluk hidup, seperti haiwan dan manusia.
Selain itu, seni ukiran turut menggunakan motif alam semula jadi, iaitu tumbuh-tumbuhan, corak geometri, corak kosmos dan ukiran khat dari ayat-ayat Al-Quran. Ciri-ciri tumbuhan yang digunakan sebagai motif dalam seni ukiran adalah daun, putik, buah, bunga dan akar.
Petikan daripada: Buku 'Spesies-spesies Kayu dalam Seni Ukiran Melayu'.