UNIT MEDIA
Unit Media Perpustakaan Universiti Malaya merupakan sebuah unit yang menempatkan pelbagai koleksi audio visual yang terdapat di Perpustakaan Universiti Malaya. Ianya menyediakan sumber maklumat yang boleh membantu pengguna untuk meningkatkan bidang pengajaran dan pembelajaran. Selaras dengan perkembangan semasa, Unit Media akan ditambahbaik bukan sahaja dari segi koleksi, malah dari segi perkhidmatan yang ditawarkan. Di samping itu, pelbagai perancangan masa hadapan dicadangkan untuk meningkatkan lagi penggunaan koleksi Media di Perpustakaan Universiti Malaya.
PENGENALAN
Unit Media Perpustakaan Universiti Malaya (PUM) terletak di aras 4, Perpustakaan Utama. Koleksi ini mengandungi lebih daripada 11,000 judul bahan audio visual termasuk filem, dokumentari dan animasi filem dan muzik. Perkhidmatan yang ditawarkan terbuka kepada semua pengguna PUM yang berdaftar.
LATAR BELAKANG
Koleksi media adalah koleksi yang mengandungi bahan bukan bercetak seperti cakera padat, kaset, DVD, VCD, Blu-ray, piring hitam dan sebagainya. Koleksi ini tidak kurang pentingnya jika dibandingkan dengan bahan bercetak dan ianya merupakan alternatif untuk mendapatkan maklumat dan ilmu pengetahuan. Begitu juga dengan koleksi Media yang terdapat di PUM yang dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Koleksi Media atau pada mulanya dikenali sebagai Jabatan Audio bermula dengan percam-bahan idea oleh Naib Canselor yang pertama iaitu Profesor DiRaja Ungku Aziz. Ianya bermula pada tahun 1977 sebagai unit yang membantu pelajar dan staf untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran di samping digunakan untuk pelajar Kelainan Upaya untuk mendapatkan maklumat berkaitan pembelajaran mereka. Selain daripada itu, Jabatan Audio pada waktu itu adalah sebagai ‘bantuan’ kepada Koleksi Kebangsaan di Perpustakaan bagi menyimpan khazanah negara dalam bentuk muzik dan tradisi lisan. Selaras dengan perkembangan semasa, koleksi ini berkembang dengan bertambahnya koleksi dalam pelbagai format.
Misi Unit Media adalah untuk menyediakan sumber maklumat komprehensif yang merangkumi semua bidang pengajaran dan menawarkan perkhidmatan serta kemudahan yang berkualiti untuk memenuhi keperluan penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran. Objektif yang ditetapkan adalah:
a. Membangun dan mengurus audio visual terkini.
b. Mempromosi bahan koleksi media.
c. Menyedia peralatan dan kemudahan media terkini.
d. Menyedia bahan audio visual sebagai bahan rujukan dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.
KOLEKSI UNIT MEDIA
Unit Media PUM mempunyai pelbagai koleksi yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna antaranya Digital Video Disc (DVD) merupakan sejenis format media storan cakera optik yang popular. Kebanyakan DVD sama dimensinya dengan cakera padat (CD) tetapi ia boleh menyimpan data berkali ganda lebih banyak berbanding CD. Koleksi DVD yang terdapat di Unit Media ini merangkumi pelbagai genre filem dan muzik. Di samping itu, koleksi Unit Media juga merangkumi koleksi yang berbentuk Blu-Ray Disc, Compact Disc (CD), pita video (VHS), pita audio (kaset), pita audio digital (DAT) serta piring hitam (Vinyl Record) daripada pelbagai jenis muzik dan lagu seperti muzik klasik barat, muzik rakyat, lagu-lagu Melayu dan luar negara. Antara koleksi muzik dan lagu-lagu tradisional Melayu yang terdapat dalam koleksi adalah koleksi Orkes Seri Maharani Ghazal, Orkes Hamzah Dolmat serta Orkes Keroncong Maroeti. Bagi memenuhi keperluan pengguna, pihak Perpustakaan sentiasa berusaha untuk menambah koleksi dari pelbagai bidang yang dapat membantu pengguna dalam urusan pengajaran dan pembelajaran. Judul bahan yang terdapat di koleksi Unit Media boleh didapati dengan melayari katalog PUM (www.pendeta.um.edu.my)
Librarian